Sejurus melihat berita pada malam tadi, terdetik hati saya untuk kembali menaip sedikit bingkisan pandangan saya untuk tatapan umum. Hal yang paling sinonim sekali dengan pendirian saya iaitu tidak lain dan juga tidak bukan mengenai masalah rokok. Saya pun hairan, terlalu kerap isu ini dibangkitkan, tidak kira sama ada oleh golongan politik, ulama, NGO mahupun pihak kesihatan dan masih mereka tidak menunjukkan rasa jemu terhadap isu ini. Sungguh pun begitu, saya lihat pengisiannya berbeza walaupun subjeknya sama.
Menteri Kesihatan: KITA AKAN MELUASKAN LAGI LEBIH BANYAK KAWASAN LARANGAN MEROKOK.
Saya seharusnya menyokong kenyataan beliau sekaligus memberikan dorongan yang positif ke arah melaksanakan hasrat murni lagi suci itu. Kenyataan ini dikeluarkan oleh Yang Berhormat kita semasa berada di Dewan Rakyat hasil pertanyaan dari pihak pembangkang. Reaksi spontan saya berkata “bagus”, tetapi reaksi saya selepas berfikir sejenak berkata “negatif”.
Seperti contoh, baru-baru ini semasa saya berada di LCCT, sambil menunggu penerbangan seterusnya saya duduk di bahagian luar pintu masuk(bahagian daftar masuk) berhampiran dengan sebuah restoran. Sambil duduk bersandar, fikiran saya merewang entah ke mana tetapi rewangan itu hanya bersifat sementara kerana saya terganggu dengan asap rokok (hidung saya agak sensitif dengan haruman ini), lalu saya pun mencari-cari dari mana datangnya haruman ini, ohh… rupa-rupanya bukan seorang dua tapi cukup untuk saya menyatakan lebih dari angka 10. Macam-macam gelagat saya perhatikan, yang tua ada, yang muda dengan gaya sendiri, tak kisah sama ada yang berjalan, duduk, mahupun yang bertenggek di tepi tong sampah. Pula itu, yang menariknya masing-masing macam silih berganti, apabila si A sudah habis merokok dan pergi, datang pula B dan menyalakan rokok. Boleh diibaratkan seperti larian “pass baton” SUKMA ini. Rata-rata yang melakukan kesalahan itu, bukan rakyat asing tapi rakyat tempatan. Eh? Seperti saya ada menaip tentang perkataan “kesalahan”? Sebelum itu, izinkan saya bertanya dahulu, “Adakah merokok di kawasan awam di LCCT adalah dilarang?” dan “Adakah merokok di kawasan yang mempunyai tanda larangan merokok juga di larang”.
Jika jawapan anda “YA” bagi kedua-dua soalan tadi maka saya wajar menepuk bahu anda dan berkata anda “Salah”. Senario berbeza di negara kita yang tercinta ini berbanding negara maju yang lain, bak kata orang - lain padang lain perokok. Merokok di tempat larangan merokok bukanlah suatu kesalahan dan jika ianya satu kesalahan, mengapa ramai yang melakukannya tanpa dikenakan tindakan? Jelas di sini, anda dan saya boleh merokok di mana-mana tempat termasuklah tempat yang mempunyai papan tanda yang jelas mengenai larangan merokok. Kenapa? Sebab tiada orang ambil peduli apatah lagi tindakan di ambil kira?
Bagaimana tajuk di atas boleh memberikan impak yang berkesan terhadap pengurangan perokok di Malaysia sedangkan PENGUATKUASAAN dan saya ulangi lagi sekali, PENGUATKUASAAN terhadap larangan itu tiada. Sekiranya PENGUATKUASAAN itu lemah, saya harus memberikan kredit kerana ada inisiatif yang di ambil tetapi masalahnya ialah PENGUATKUASAAN itu tidak wujud atau lebih tepat lagi tiada. Luaskanlah kawasan larangan merokok dari tambak Johor sehinggalah di hutan belantara di sempadan Thailand sekalipun, apakah ia berguna tanpa PENGUATKUASAAN?
Apa yang ingin saya cuba ketengahkan di sini ialah langkah PENGUATKUASAAN yang TEGAS serta BERTERUSAN dari masa ke semasa dan bukanlah sekadar hangat-hangat api rokok sahaja. Bila tiba musim, maka adalah PENGUATKUASAAN. Bila habis musim, maka tiada kes pun yang direkodkan dan jika keadaan ini berpanjangan sehingga Malaysia menjadi negara maju pada tahun 2020 belum tentu lagi isu habis diperbincangkan. Jadi saya seru anda supaya bersama-sama dengan saya menjadi saksi sama ada isu ini akan timbul atau tidak pada tahun 2020 dan sama-sama kita nantikan sekiranya tiada langkah yang di ambil sekarang.
Sila rujuk semula antara artikel awal saya yang menyatakan antara faktor utama yang menyumbang kepada masalah bilangan perokok bertambah dari semasa ke semasa ini adalah kerana TIADA PENGUATKUASAAN. Jika perkara berkaitan dengan PENGUATKUASAAN ini dapat diatasi, saya percaya dan yakin dengan izin Allah s.w.t. , masalah bilangan perokok ini juga boleh diatasi
Di sini saya sertakan antara idea-idea yang saya rasakan bernas dan ‘smoker-friendly’ yang boleh dikenakan terhadap pesalah rokok ini adalah:
1) Saman yang lebih kepada CASH ON THE SPOT. Tak mahal, RM200 sahaja dan duit ini kita salurkan kepada badan kebajikan contohnya seperti Majlis Kanser Nasional (sekadar menamakan).
2) Sekiranya tidak mampu bayar, hendaklah melakukan khidmat komuniti di hospital atau pusat kesihatan selama 120 jam. Khidmat komuniti yang dikenakan di hospital bukanlah seperti berkebun atau menjadi ‘cleaner’ tetapi membantu jururawat melayan pesakit yang menderita barah.
Wahai para pencinta rokok di luar sana, yang bijak pandai serta arif lagi bijaksana. Terus terang saya katakan, suatu masa dahulu saya juga perokok seperti para perokok di luar sana tapi apabila kerja saya ini sentiasa didedahkan dengan kehidupan realiti masyarakat kita, saya berfikir dua kali sebelum menyalakan api rokok.
Kes 1: Ayah saudara saya, 50an, seorang nelayan dan juga perokok tegar. Hati saya menjadi sayu apabila terkenangkan penderitaannya sewaktu menderita barah tekak hasil daripada merokok sejak zaman remaja. Sana sini berubat, puluhan ribu habis, pelbagai tabib dan hospital telah diredah tapi Tuhan lebih menyayanginya. Pernah suatu malam ketika sakit, dia bangun dan mengejutkan isteri dan anak-anaknya supaya menyediakan ais untuk beliau mandi. Walaupun badan di mandikan dengan air ais dan pintu bilik air dibiarkan terbuka supaya udara sejuk dari penghawa dingin dapat masuk tapi dia masih mengatakan badannya panas. Selang lima hari kemudian, dia pun menyambut panggilan Illahi. Hampir lima tahun, dia menderita barah tekak dan dia tidak mengalah dan berjuang kerana dia mengatakan yang dia tidak mahu mati namun apakan daya, Tuhan miliki segalanya.
Kes 2: Rakan sebaya, perempuan berusia awal 20an menderita barah paru-paru. Apa lagi yang tinggal pada seorang gadis sekiranya masa depan sudah samar-samar. Masih adakah sinar di penghujung jalan yang suram?? Kes ini lebih kepada tembakau punya pokok, rokok dapat nama. Sepanjang perkenalan dengannya saya tidak pernah terlihat atau pun mengetahui bahawa beliau merupakan seorang perokok sampailah suatu hari ketika saya menghubunginya, dia mengatakan yang dia sedang berada di hospital swasta menjalani kimoterapi. Saya terkesima seketika kerana saya percaya kata-katanya kerana dia tidak akan bergurau dengan perkara sebegini. Tentulah saya pun mula bersangkaan seperti anda, mungkin dia merokok di luar dari pandangan orang dan saya pun bertanyakan pada dia. Sungguh mengejutkan saya malah juga menginsafkan saya sedikit sebanyak kerana doktor sendiri mengesahkan dia mengidap barah paru-paru disebabkan pendedahan yang kerap terhadap asap rokok pasif. Jadi di sini, anda pun boleh menduga siapakah yang bertanggungjawab itu, jawapannya adalah ayahnya sendiri juga seorang perokok tegar.
Kes 3: Rakan lelaki, 29 tahun, perokok tegar sejak zaman sekolah rendah. Kini meninggalkan seorang balu dan kandungan berusia 1 bulan. Bayangkan tuan-tuan yang merokok, apakah perasaan anda sebagai seorang wanita yang baru bernikah tidak sampai 4 bulan tapi sudah menjanda dengan kandungan berusia 1 bulan? Inilah yang berlaku pada balu arwah rakan lelaki ini, baru bernikah pada 20 Disember 2009 tetapi pergi sebelum sempat menatap kedatangan April. Semua ini didalangi oleh sang rokok yang durjana itu. Meninggal dunia ketika tidur.
Sebenarnya banyak lagi kes-kes yang saya pernah hadapi dengan mata dan kepala saya sendiri. Pengalaman yang sebeginilah yang saya tidak mahu dihadapi oleh ahli keluarga tuan-tuan yang merokok di luar sana sambil diiringi air mata mereka. Sedarlah sebelum terlambat dan janganlah sudah terkena barah, baru nak terngadah dan janganlah disebabkan perokok seorang, habis musnah seisi masyarakat. Akhir kata dari saya, sesal dahulu sihat badan, sesal kemudian barah datang. Anda mampu mengubahnya.
