Monday, April 19, 2010

OuR LaNd, OuR FrEeDoM..

Apabila berbicara mengenai Dasar Automotif Negara (DAN) juga mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA). Bermacam-macam reaksi hebat serta keluhan, ada yang melompat kegirangan dan ada juga yang keresahan. Sungguhpun pelbagai reaksi dan keluhan yang diterima, apa yang difikirkan oleh kerajaan yang akan memberikan kebaikan kepada majoriti rakyat maka hendaklah dilaksanakan. Selalunya negara demokrasi akan mendengar rintihan rakyat dan pemimpin yang prihatin akan selalu mendekati rakyat.

Di negara Malaysia, ramai antara kita yang berfikiran bahawa asal beli kereta sahaja memang sudah tentu ia milik kita sehinggalah kita tiada di dunia. Saya sendiri tidak menafikan perkara tersebut memang betul, ikut logik akalnya asalkan kita telah membayar harga yang dipersetujui maka sesuatu itu akan menjadi hak milik kita secara kekal. Namun senario ini berbeza pula di negara-negara maju yang lain, contohnya apabila sesebuah kereta itu telah mencapai had umurnya katakan 10 tahun dari tarikh pembelian maka kereta itu akan dilupuskan sebagai besi buruk dan tiada apa pampasan diberikan tetapi sekiranya tuan pemunya kereta itu masih mahu meneruskan penggunaan kereta itu maka dia perlu membayar sejumlah wang dan dilanjutkan penggunaannya mungkin 10 tahun lagi (maksimum).

Hari ini jika kita lihat, masyarakat tidak mahu mengambil sistem pelupusan kenderaan berusia yang diperkenalkan di negara maju. Banyak responden yang menolak mentah-mentah idea ini yang dilihat mungkin lebih mendatangkan banyak kesan negatif daripada kesan positif. Pada saya, walaupun tidak setuju atau mungkin tidak bersehaluan maka kita seeloknya mendengar dahulu barulah kita menilai.

Kita imbas kembali, dulu jalan raya di kampung kita hanyalah sebesar sekangkang kera tetapi kini sudah mempunyai 2 lorong. Manakala jalan raya di bandar pula dahulu hanya mungkin 2 lorong tapi sekarang ada yang dibuka sehingga 6 lorong. Kita lihat sendiri, dahulu sewaktu awal pembukaan Jambatan Pulau Pinang, ianya dibuka hanya 4 lorong tetapi kini dilebarkan lagi kepada 6 lorong. Kenapa? Adakah tujuan pelebaran jalan ini dilakukan kerana :
  1. Mahukan rakyat lebih selesa menggunakannya
  2. Sejajar dengan hasrat kerajaan ingin jadi negara maju maka segala prasarana perlu di ‘update’

Ramai yang akan memilih pilihan yang pertama kerana ianya lebih serasi namun hakikat yang sebenarnya ialah tujuan pelebaran jambatan mahupun jalan raya hari ini adalah untuk menampung jumlah kenderaan yang berada di atas jalan yang semakin meningkat dan bukan di ukur mengikut hari tetapi mengikut kiraan jam. Setiap jam sahaja, pasti ada kereta baru yang akan digunakan di jalan raya dan sudah pasti sekiranya jalan dahulu yang 2 lorong boleh menampung 80 bilangan kereta dalam satu masa, bagaimana pula keadaannya sekarang jika bilangan kereta yang melalui lorong tersebut menjadi 400 kereta dalam satu masa? Jawapan dalam bahasa Inggerisnya ialah JAMMED. Oleh sebab yang demikian maka dari 2 lorong menjadi 4 lorong dan dari 4 lorong menjadi 6 lorong dan seterusnya. Cuba anda bayangkan sendiri jika kawasan tersebut sudah terlalu padat dan terhad dan jalan tidak boleh lagi diperbesarkan, mahukah anda mengulangi perkataan bahasa Inggeris tadi? Seharusnya kita tidak boleh secara mentah-mentah menolak cadangan pelupusan kenderaan berusia ini tanpa mendengar dan menilai terlebih dahulu. Sebagai contoh, anda bayangkan bagaimana kita asyik makan sahaja tapi tidak membuang? Sehari dua mungkin boleh tapi lama kelamaan jadi bagaimana?


Saya bukanlah mengatakan kereta keluaran lama tidak bagus, tidak elok dan jauh sekali tidak selamat malah saya boleh mengatakan kereta lama bukan merupakan penyumbang utama kepada kemalangan di jalan raya. Jika dibandingkan kualiti serta mutu pembuatan, kereta lama memang terbukti lebih baik serta amat jauh sekali jika dibezakan dengan kereta baru ketika ini. Di sini saya hanya meminta untuk dipertimbangkan sahaja cadangan ini kerana kawasan sudah semakin sempit, bilangan kenderaan baru pula meningkat tanpa kawalan. Jika tidak di kawal sekarang, bayangkan sekiranya nanti waktu berada di dalam kereta lebih lama daripada berada di pejabat mahupun rumah?


Jiran kita iaitu Singapura telah pun melaksanakan sistem ini sejajar dengan gelaran negara maju. Hanya satu faktor utama yang membolehkan mereka melaksanakan sistem ini hanyalah mereka mempunyai sistem pengangkutan awam yang ‘reliable’ dan sangat efisien. Jaringan pengangkutan awam yang sangat teratur serta mempunyai pengurusan yang mengagumkan. Hanya kerana itu mereka boleh melaksanakan sistem tersebut tanpa halangan.


Saya juga berharap kerajaan akan memperkasakan serta menyusun semula pengurusan pengangkutan awam supaya lebih efisien dan yang paling penting boleh diharapkan(reliable) dan secara bersepadu dan menyeluruh tetapi janganlah langkah pengemaskinian yang bakal dilaksanakan hanya sekadar hangat-hangat tahi ayam serta melepaskan batuk di tangga sahaja dan setelah pengangkutan awam tidak mempunyai masalah dan terbukti memang cekap dari segi pengurusan dan cara kerjanya maka sistem pelupusan ini boleh di pertimbangkan serta dikaji semula Insya’Allah. Wallahu’alam…

No comments:

Post a Comment